Diambil dari Utusan dan laman bebas untuk pengajaran.
KUALA LUMPUR (Malaysiaaktif) -- Masih ramai mempunyai anggapan bahawa pengurusan sisa pepejal di negara ini tidak mempunyai kaitan dengan mereka. Mengapa? Walhal sudah banyak program kesedaran telah dilakukan. -Oleh Sakini Mohd Said/Bernama
Rencana dua siri ini akan merungkai serba sedikit transformasi yang bakal tercetus dalam pengurusan sisa pepejal negara sebaik sahaja berkuatkuasanya Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bermula 1 Sept lepas.
Bahagian pertama akan menyelusuri kurangnya keprihatinan segelintir masyarakat dalam memandang serius aspek kebersihan serta penglibatan yakni sebagai antara cabang penting pengurusan sisa pepejal.
Cuba lihat atau terjemah senario sebelum dan selepas berakhirnya pasar malam, pasar pagi atau apa sahaja yang bergalaskan kepada perkataan 'pasar'.
Ramai orang, sudah tentu sama ada mereka adalah kalangan pembeli mahupun penjual. Malah, kiri kanan terasa kemeriahannnya dengan gelagat si penjual cuba meraih perhatian si pembeli.
Itu adalah fenomena biasa ketika berada di pasar. Namun, apa berlaku selepas itu? Suasana lengang, tiada si penjual tiada si pembeli, tetapi yang tinggal hanyalah sampah merata-rata!
Bukan senario baru, tetapi bagaikan sudah menjadi kebiasaan setiap kali adanya 'pasar' yang berlokasikan bukan di kawasan bangunan berbumbung.
Bukan itu sahaja. Lihat pula di kawasan taman rekreasi air terjun. Pemandangan menghijau yang indah, serta sering kali menjadi lokasi pilihan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Bagaimanapun, lihat pula kiri kanan anda. Tulang ayam, tulang ikan, bekas air kotak pelbagai jenama, bekas polisterin, menyuntik dekorasi 'kotor' oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Semua ini merungkai kepada 'kurangnya keprihatinan masyarakat' dalam aspek kebersihan, kepentingan penglibatan terhadap pengurusan sisa pepejal, dan ini diakui sendiri oleh Pensyarah Undang-undang Pengurusan Sisa Industri dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Bakri Ishak.
IKUT SUKA HATI
Kewujudan penyakit seperti 'leptospirosis' serta meningkatnya kes denggi sepanjang tahun lepas, sedikit sebanyak menimbulkan persoalan mengenai amalan kebersihan sesetengah masyarakat negara ini.
Ia juga mengeksplisitkan betapa rendahnya keprihatinan masyarakat dalam penglibatan mereka sebagai antara komuniti penting pengurusan sisa pepejal yang teratur.
Malah, laporan pihak berkuasa berhubung penyakit 'leptospirosis' serta denggi menyebut punca berlakunya penyakit itu adalah sikap masyarakat yang tidak mengambil peduli aspek kebersihan.
Ekoran mengambil mudah perkara itu, penyakit leptospirosis yang juga dikenali sebagai 'kencing tikus', mula dikesan pada pertengahan tahun lepas apabila beberapa orang meninggal dunia selepas mangsa dikatakan terlibat dalam aktiviti air di beberapa taman rekreasi.
Begitu juga dengan denggi. Kawasan persekitaran yang kotor, sampah merata-rata akhirnya mengundang pembiakan nyamuk Aedes.
Tidak sekadar itu, fenomena menjijikkan di belakang restoran, kawasan persekitaran penjaja yang kotor dengan longkangnya penuh sisa makanan sehingga tersumbat, boleh mengundang kedatangan binatang pembawa penyakit seperti tikus, lalat dan lipas.
Semua ini bermula daripada sikap 'ikut suka hati aku', mengurai kepada amalan membuang sampah merata-rata tanpa memikirkan implikasi pada masa akan datang.
ASAL BUKAN RUMAH AKU, SUDAH CUKUP
Kurangnya keprihatinan masyarakat turut dapat dilihat apabila mengamalkan konsep 'asalkan bukan rumah aku, sudah cukup ataupun 'Not in my backyard' (NIMBY), iaitu istilah popular yang digunakan di United Kingdom.
Senario ini dapat dilihat apabila ada sesetengah individu hanya menitikberatkan kebersihan di rumahnya, tetapi tidak ketika berada di luar.
"Sampah ini bukan di kawasan aku sudah cukup, lantaklah. Ada juga orang sebegini melonggokkan sampah ke rumah jiran ketika menyapu kerana tidak mahu kawasan rumahnya kotor.
"Biarpun kawasan perumahan kita bersih, tetapi persekitaran di luar sana yang kotor, ada kemungkinan kita akan mendapat balik kesannya," kata Mohd Bakri kepada Bernama baru-baru ini.
Sambil menegaskan bahawa senario ini jelas menunjukkan ketidakprihatinan masyarakat dalam pengurusan sisa pepejal, Mohd Bakri juga melahirkan rasa kecewanya terhadap sikap negatif masyarakat yang menyerahkan seratus peratus tanggungjawab sisa pepejal kepada pihak berkenaan (yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal).
Mempunyai persepsi "Buang sahaja sampah di sini kerana tiada tong sampah, lagipun nanti mereka tiada kerja pula", sekali gus memaparkan secara eksplisit sikap masyarakat yang terlalu mementingkan diri.
"Ungkapan itu seharusnya tidak diamalkan. Sekiranya ada sikap begini, amat sukar untuk kita menjadi negara maju," katanya.
SAMPAH BANYAK AIR
Rendahnya penglibatan masyarakat dalam program kitar semula, iaitu sekadar lima peratus berbanding negara lain, sekali gus menunjukkan betapa kurangnya keprihatinan mereka dalam pengurusan sisa pepejal.
Lebih gemar mencampur-adukkan pelbagai jenis sisa pepejal domestik dalam satu tong sampah, secara tidak langsung menyukarkan proses kitar semula.
"Ketika menghadiri satu persidangan berkaitan pengurusan sisa di Sarawak anjuran SIRIM baru-baru ini, saya mendapat maklumat menarik dinyatakan bahawa sisa pepejal kita mengandungi banyak air.
"Malah, diberitahu sisa pepejal kita adalah paling basah berbanding dengan Germany dan beberapa negara lain di Eropah," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Bakri berkata senario tersebut menyebabkan barang-barang yang boleh dikitar semula perlu mengalami proses 'pengeringan' dan ini secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada kejayaan program kitar semula.
Tidak boleh dipandang ringan akan senario tersebut kerana ia (air yang terkandung dalam sisa pepejal) akan menyebabkan wujudnya air larut lesap atau leachate yang bukan sahaja berbau busuk malah boleh mengundang bahaya kepada kesihatan manusia.
"Pada tahun 2006, kita dikejutkan dengan pencemaran air sungai yang berpunca daripada air larut resap ini," kata Mohd Bakri.
Seharusnya pengasingan sisa pepejal daripada awal dalam mengkategorikan antara yang boleh dikitar dan sebaliknya perlu dilakukan oleh masyarakat.
MENGAPA?
Ia adalah satu tanggungjawab bersama, bukan hanya pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun syarikat konsesi. Sikap masyarakat yang tidak prihatin dan menyerahkan seratus peratus tanggungjawab pengurusan sisa pepejal kepada pihak berkuasa, seharusnya diubah.
Menganggap senario ketidakprihatinan ini lahir ekoran kurangnya kempen kesedaran, Mohd Bakri berkata sudah tiba masanya ia diberi penekanan utama.
"Bukan kempen kesedaran yang dibuat sebelum ini tidak berjaya, tetapi ia tidak banyak, masih banyak yang kurang. Lagipun masih ada yang tidak mengetahui sisa pepejal mana yang boleh dikitar semula dan sebaliknya.
"Ini berdasarkan kepada pengalaman saya ketika membuat penyelidikan untuk sisa elektrikal dan elektronik di beberapa buah bandar. Ketika itu, ramai mencadangkan untuk memperbanyakkan kempen kesedaran.
"Dan saya rasa ini adalah masa sesuai untuk memperbanyakkan lagi kempen kesedaran sesuai dengan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang berkuatkuasa pada 1 Sept lepas," katanya.
Melalui penguatkuasaan akta itu, sesebuah isi rumah perlu mengasingkan antara sisa pepejal boleh dikitar semula dan sebaliknya.
Percaya akta itu mampu meningkatkan keprihatinan masyarakat dalam penglibatan mengurus sisa pepejal mereka, Mohd Bakri berkata ini kerana ia (akta) mementingkan pengasingan sisa pepejal dari rumah lagi.
Dengan adanya didikan sedemikian, isu pasar dibanjiri sampah, konsep NIMBY, sisa pepejal banyak air dapat diatasi kerana ia semuanya berbalik kepada skop 'keprihatinan masyarakat'.
Apabila masyarakat mempunyai nilai prihatin dan merasakan diri mereka turut terlibat dalam pengurusan sisa pepejal negara, senario sedemikian tidak akan terjadi.