Dulu-dulu, ada orang keliru bila telefon bimbit yang diperkenalkan bersama kamera. Nak panggil telefon berkamera atau kamera bertelefon. Tapi disebabkan penggunaan telefon menjadi keutamaan, kita panggil telefon berkamera. Maka, kamera bertelefon adalah telefon yang diikat bersama kamera kompak atau jenis SLR. :)

Baru-baru ini Samsung telah memperkenalkan peranti kamera terbaru di Malaysia yang dinamakan Samsung Galaxy Camera. Tetapi pertama kali diperkenalkan pada awal Ogos lalu.

Nampaknya samada Samsung mengetahui keperluan pengguna zaman sekarang yang memerlukan keupayaan mengambil gambar yang lebih baik atau menyahut cabaran lawak ini.

 

Peranti ini yang dikuasai dengan Jelly Bean (Android 4.1), mempunyai komunikasi dengan 3G dan LTE (pilihan), mungkin tidak membenarkan komunikasi 2G dan 1G tetapi jika aplikasi Skype atau sebarang komunikasi melalui internet boleh dipasang, pengguna masih boleh berbual. Terdapat juga sambungan ke internet menggunakan wifi. Cuba bayangkan kalau kita membuat panggilan dengan menggunakan peranti ini dengan lensa yang terjojol. Masa berbual yang dinyatakan di spesifikasinya pun tidak lama. 4 jam sahaja.

Memang fungsi utama peranti ini untuk mengambil gambar. Dengan lensa berkeupayaan seperti kamera kompak, 16.3MP dan 21x optical zoom adalah memadai bagi pengguna yang suka mengambil gambar dengan kualiti dan sudut terbaik. Mungkin versi akan datang menghampiri keupayaan SLR pula. Mesti lebih besar bentuknya.

Dengan adanya Android sebagai sistem operasinya, amatlah tidak berguna, jika digunakan untuk mengambil gambar sahaja. Aplikasi gambar amat perlu dalam android ini bukan sahaja memudahkan mengedit selepas mengambil gambar tetapi guna menentukan sudut, cahaya, bukaan, dan fokus imej sebelum mengambil gambar dengan sentuhan pada skrin sentuh. Sungguh mudah.

Mudah juga untuk tag lokasi dengan gambar yang diambil. Semuanya hampir sama dengan produk Samsung Android yang lain. Ada sensor GPS, kompas, kelajuan dan girometer.

Maka, di sini kita tidak memerlukan PC untuk mengedit, menghantar dan mengongsi gambar di internet lagi. Ini amat sesuai untuk mereka yang suka mengambil gambar, membuat liputan pengembaraan di blog dan Facebook atau simpan sahaja di Dropbox. Ya! Dropbox menyokong peranti ini tetapi kenapa tidak Google Drive? Tidak jadi masalah. Pasang sahaja Google Drive Apps dari Google Play.