Pada 22 November 2012 lalu, satu syarikat peranti komunikasi pintar yang baru ditubuhkan memperkenalkan sistem operasi terbaru yang berasaskan Linux, sama seperti Android, dinamakan Sailfish OS. Syarikat ini yang dinamakan Jolla, dianggotai oleh beberapa bekas pekerja Nokia. Sistem operasi terbaru ini dipersembahkan oleh mereka di Helsinki, Finland.

http://www.youtube.com/watch?v=tRZxM9rNyZ4

Kepada mereka yang tidak mengetahui sejarah awal kelahiran Sailfish, sistem operasi ini dibangunkan semula oleh bekas pekerja-pekerja Nokia yang membawa sistem operasi, Meego yang sebelum ini dibangunkan bersama antara Intel dan Nokia.

Setelah sistem operasi Symbian gagal di dalam pasaran peranti komunikasi pintar, Nokia tidak beralih kepada Meego, tetapi membuat pakatan baru dengan Microsoft bagi menggunakan Windows Mobile sebagai sistem operasi bagi produk terbaru Nokia.

Beberapa pihak yang terlibat secara langsung dunia telekomunikasi pintar melihat, tindakan Nokia menggunakan Windows Mobile adalah kurang bijak kerana Windows Mobile juga berada di ambang kemunduran di mana, pada waktu ini pendahulu bagi sistem operasi ini adalah antara Android dan iOS. Tindakan Nokia ini jelas setelah membatalkan pembangunan Meego pada lewat tahun 2011.

Kemungkinan ini menyebabkan beberapa pekerja Nokia mengambil tindakan keluar dari syarikat dan menubuhkan Jolla serta mengambil Meego sebagai piawai pembangunan Sailfish.

Jolla meramalkan produk pertama mereka dengan sistem operasi Sailfish akan dikeluarkan pada 2013.