Permulaannya pihak kami memilih untuk membuka akaun kewangan dengan Maybank. Ini kerana Maybank mempunyai banyak kemudahan terutama perkhidmatan perbankan internetnya. Syarat penggunaan internet salah satunya adalah perkhidmatan yang diberi adalah percuma ?sehingga diberitahu kemudian?.

Dan baru-baru ini telah menjadi satu kenyataan bahawa Maybank akan mengenakan caj untuk perkhidmatan internetnya sebanyak RM12 setahun. Kebanyakan pelanggan Maybank (yang diperolehi dari laman jeffooi.com) merasakan caj yang dikenakan adalah tinggi dan ada yang tidak menyukainya.

Salah seorang yang pelanggan yang memberi komen, telah menulis, bahawa beliau adalah salah seorang yang pertama menggunakan perkhidmatan perbankan internet Maybank dan sentiasa menggunakannya (loyalty). Beliau mempertikaikan mengapa beliau perlu dikenakan caj walhal beliau pelanggan yang setia. Adakah pelanggan seperti beliau tidak menguntungkan. Cara pihak Maybank memberi perkhidmatan percuma untuk mengumpul seberapa banyak pelanggan dan seterusnya mengenakan caj adalah kurang baik. Kata akhir beliau kemungkinan beliau akan menghentikan penggunakan perkhidmatan dan menamatkan akaun beliau di Maybank.

Pihak kami juga merasakan caj yang dikenakan adalah tidak berpatutan juga tidak sesuai bagi pelanggan yang setia seperti kami. Pihak kami telah menggunakan perkhidmatan ini semenjak kami membangunkan laman ini untuk transaksi secara on-line dan pembelian kad prabayar.

Kami merasakan bahawa telah sampai masanya kita mengubah akaun kita kepada bank yang mempunyai perkhidmatan yang sama dan tidak mengenakan sebarang caj.

Dalam pengkajian kami, cara perniagaan mereka adalah konservatif di mana segalanya perlu dicaj dan tidak mengetahui, ada yang perlu diberi percuma dalam mengekalkan kesetiaan pelanggan, menambahkan kadar bilangan perniagaan dan mengukuhkan reputasi bank. Mereka perlu mengetahui keuntungan yang akan diperolehi melalui perkhidmatan percuma.

Untuk mengetahui keuntungan dalam perkhidmatan percuma, contoh terbaik adalah internet, kita balik ke belakang di mana permulaan internet dicipta. Perkhidmatan rangkaian internet pertama yang menyambung antara pangkalan tentera dan universiti di AS dan kandungan adalah percuma. Hanya pembangunan dan kos pemasangan sahaja yang dikenakan caj. Selepas itu, HTML diperkenalkan dan diterbitkan secara percuma oleh Tim Berners Lee untuk memudahkan kandungan internet dimuat turun dan dipaparkan. Dalam beberapa tahun, beribu host telah menggunakan format HTML dan 10 tahun seterusnya, jumlah host menggunakan format ini bertambah melebihi sepuluh ribu. Hingga sekarang Tim Berners Lee tidak mengenakan sebarang caj atau royalty kepada penggunaan HTML.

Kandungan internet percuma telah mengembangkan perkhidmatannya keseluruh dunia dan mempelbagaikan penggunaannya kepada perkhidmatan sembang, perbankan, pembelajaran, perkongsian maklumat dan surat-menyurat.

Kami merasakan terlalu banyak perkhidmatan di internet yang percuma dan ini menyumbang kepada perkembangan perisian terbuka (Open Source). Di AS, internet menjadi medium percuma. Dari perisian percuma hingga ke perkhidmatan percuma. Penggunaan e-mail pada mulanya adalah terhad kepada mereka yang bertugas dalam organisasi yang mempunyai internet dan pelanggan internet berbayar (melalui ISP) sahaja. Sabeer Bakhtiar telah memperkenalkan e-mail percuma yang dikenali sebagai Hotmail yang dapat digunakan oleh semua orang tanpa perlu menjadi pelanggan ISP. Beliau telah mendapat keuntungan dari pihak pengiklanan yang menempah ruang iklan di Hotmail. Jumlah pengiklan beliau bertambah yang disebabkan penggunaan e-mail percuma dan bilangan pengguna yang sentiasa bertambah. Ini menyebabkan pihak Microsoft berminat membeli hak Hotmail.

Enjin pencarian juga diberi percuma. Enjin pencarian pertama telah melonjakkan nama Yahoo. Google menjadi enjin pencarian yang efektif, cepat dan percuma juga telah melonjakkan nama dan dapat mengatasi Yahoo. Pihak Google pernah berkata semasa melancarkan Google Desktop Search secara percuma bahawa, mereka akan mengeluarkan segala perisian percuma. Keuntungan mereka akan diperolehi melalui perkhidmatan diperlukan oleh organisasi lain. Bukan itu sahaja, kami dapati Google mendapat keuntungan dari penyenaraian di bursa saham Amerika Syarikat dan terus meningkat.

Langkah mereka ini patut dicontohi oleh bank. Memberi khidmat percuma di satu bahagian dan mengenakan caj di bahagian yang lain yang mana kedua-dua bahagian saling memerlukan (win-win situation).

Jika Maybank tidak mengenakan caj atau yuran tahunan, pihak mereka masih boleh membiayai perkhidmatan internet dan mungkin mendapat keuntungan yang lebih dari penjualan barangan dan perkhidmatan lain sedia ada seperti kad prabayar, insurans, kenderaan, permohonan kad kredit, barangan pihak ketiga yang dicajkan, tiket, pembayaran bil dan sebagainya di dalam talian internet. Biarkan sahaja perkhidmatan seperti transaksi dan penggunaan perbankan internet lain percuma bagi semua pelanggan mereka.

Jika masih ada pelanggan Maybank ingin menukar perkhidmatan perbankan internet, kami mencadangkan mereka bertukar kepada Bank Islam. Walaupun bank ini masuk baru berbanding Maybank dalam perkhidmatan perbankan internet, tetapi caj mereka masih rendah (walaupun tidak percuma). Pelajar UiTM yang membuat pembaran yuran melalui perkhidmatan ini hanya dicaj sebanyak 70sen berbanding pembayaran balik Pinjaman JPA di Maybank sebanyak RM5. Bank ini juga telah melebarkan penggunaan perbankan internet ke UUM dengan memperkenalkan E-Tunai.

Sesungguhnya percuma masih releven dan memberi pulangan yang lumayan.