Lebih 10 tahun dulu, aku berjumpa dengan mentor aku, Ibn Yusof, penulis buku Permata Yang Hilang.
“Bang, kenal tak Azli Paat? Dia ni hebat. Macam-macam idea teknologi dia ada. Saya rasa kalau kita jumpa dia, mungkin dia boleh bantu kita buat projek.”
Macam biasalah kalau cerita gempak pada Ibn Yusof, dia dengar acuh tak acuh. Tapi cuba dia ada cerita gempak, dia paksa pula kita dengar cerita dia.
Memang betul. Beberapa bulan selepas itu, Ibn Yusof telah berjumpa Azli Paat dalam satu seminar keusahawanan. Bila balik kampung, dia sanggup panggil aku dan bercerita betapa hebatnya Azli Paat dalam meramal perkembangan teknologi akan datang.
Aku masih ingat lagi semasa aku rasa kagum bila seorang rakyat Malaysia yang terlalu arif dengan perkembangan teknologi, rendah diri dan berfikiran terbuka. Pada waktu itu, beliau memperkenalkan teknologi yang diberi nama Grabix di rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV3.
Grabix, pada waktu itu adalah satu perkhidmatan SMS untuk pengguna mengetahui status perkembangan artis di Malaysia. Azli Paat telah memperkenalkan Jeslina Hashim sebagai artis Malaysia pertama yang memaklumkan sebarang aktivitinya di dalam Grabix. Peminat beliau pula akan mengetahui perkembangan artis ini melalui SMS atau laman Grabix.
Boleh dikatakan Grabix adalah laman mikro social seperti Twitter yang pada waktu itu belum wujud lagi.
Aku berasa amat kagum dan menyimpan hasrat untuk berjumpa dengan Azli Paat. Aku cuba memohon jasa baik Ibn Yusof untuk membawa aku mengikuti kursus keusahawannya dan mempelawa Azli Paat datang bersama. Sehingga sekarang, aku tidak dapat menemui dan berbual dengan beliau.
Kita akan tahu betapa hebatnya seseorang itu, jikalau berkata-kata, terlalu laju untuk kita fahami. Sesetengah orang sukar untuk memahaminya dan menangkap maksudnya. Dan semasa berkata-kata juga, otaknya tidak berhenti berfikir ke hadapan. Membuatkan semasa dia berkata-kata, dia berhenti sekejap dan menyambung perbualan dengan pokok perbualan yang baru. Maksudnya, jika bercakap “A,B,C..” tiba-tiba sambung terus ke “X,Y,Z”. Ini kerana, semasa berbual, fikirannya mendapat ilham atau idea baru.
Pada hari ini, diberitakan Azli Paat telah meninggal dunia kerana demam panas. Aku berasa sangat sedih walaupun aku tidak pernah menemuinya. Kehilangannya satu kerugian yang besar kepada rakyat dan negara ini sama seperti Jasmin Ahmad. Di waktu kita memerlukan idea-idea teknologi baru tetapi dengan kematiannya mungkin akan melambatkan lagi perkembangan idea-idea dan penyampaian info teknologi kepada masyarakat.
Beliau, yang saya rasa mempunyai sifat ingin membantu masyarakat yang mendalam, dapat dilihat dalam beberapa produk teknologi yang beliau perkenalkan.
Merasakan laporan masalah ke jabatan kerajaan yang menyusahkan, Azli Paat telah memperkenalkan SMS DAPAT (32728). Nombor SMS ini biasa kita dapat lihat di papan-papan kenyataan JKR di tepi jalan raya. Dengan itu, segala masalah jalan dapat disalurkan terus ke Jabatan Kerja Raya.
Azli juga telah menjadikan nombor SMS DAPAT sebahagian dari projek perintis Rakan Cop untuk melaporkan kejadian jenayah dan sebarang perkhidmatan kepolisian. Tidak lama selepas projek ini diperkenalkan, beliau telah merakamkan satu kes sebenar kejadian membawa lari teksi di Kuala Lumpur. Beliau telah melaporkan kejadian melalui SMS DAPAT dan membawa mangsa seorang pemandu teksi mendapatkan rawatan di hospital.
Projek terbesar dan terbaru beliau, ADA, telah membawa beliau ke peringkat tertinggi dalam usaha beliau dan menempah anugerah dari kerajaan sebagai pemenang Anugerah Teknologi dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) tahun lalu.
Azli Paat juga seorang pengguna dan ahli kelab ham radio. Semua orang tahu, dengan kemudahan ini kita dapat membantu orang lain disebabkan bencana dan kacau bilau.
Beliau juga mempunyai banyak rancangan di radio dan televisyen tempatan untuk tips-tips penggunaan ICT. Semua tips-tips beliau semua berkaitan untuk membantu orang ramai memudahkan kerja.
Aku terlalu sedih dengan pemergian beliau walaupun tiada apa-apa kaitan langsung dengan beliau. Good guy, die young. Sesungguhnya manusia yang baik, amat disayangi oleh Tuhan. Al-Fatihah.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PakarICTAzliPaatmeninggaldunia/Article/