Anak aku, yang belum berumur 1 tahun, suka sangat dengan telefon bimbit. Sebenarnya, segala jenis peralatan yang mempunyai butang, dia suka membelek. Maka, selain telefon bimbit, dia suka membelek dan membegar-begar (hacking) alatan itu dan selepas itu, cuba menekan-nekan butangnya.

Apa yang menarik pasal anak aku ini, setiap kali cuba menekan sesuatu butang, dia akan tengok sekelilingnya, samada tv, kipas, lampu dan macam-macam lagi. Dia seperti tahu, setiap kali butang ditekan, mesti ada perkara lain akan berlaku. Sampailah dia tahu, setiap kali tekan butang merah, samada Astro atau TV akan padam dan seterusnya pandang muka emak ayahnya dengan senyuman yang lebar. Mom, dad, I can do it!!! Agaknya lah dia cakap macam tu.

 

Beberapa hari lepas, anak aku pegang telefon bimbit aku, Nokia E75 yang sudah lebih 2 tahun aku guna. Dia memusing-musing telefon dan aku kena jaga sebab dia ni, kalau dah boring, bukannya tahu letak, tapi hempas ke lantai. Dan akhirnya, dia tahu bahawa tekan lama di butang tengah, akan memaparkan jam dan tarikh dalam paparan penuh jika telefon bimbit ini dikunci butangnya. Selama 2 tahun, aku tidak tahu pun fungsi macam ni.

Aku terfikir, bila agaknya umur sesuai untuk Adham belajar programming. Seperti budak-budak sekolah rendah yang mampu belajar programming seperti Python, mereka tidak perlu belajar cartaalir untuk asas programming. Seperti Robert Nay berumur 14 tahun mampu menulis apps untuk Apple dan Micheal Calce belajar Linux and shell code.