Pertama kali mengenali komputer adalah semasa berumur 10 tahun. Dengan keadaan keluarga yang agak sederhana dan kadang kala susah pada tahun 1986, ayah bekerja sebagai buruh dan ibu suri rumah sepenuh masa dengan pendapatan bulanan RM450 sebulan. Mana mungkin mandapatkan sebuah komputer yang berharga RM8000 hingga RM10000 seunit pada waktu itu.
Bagaimana minat dengan komputer timbul? Pada tahun itu, ada sebuah majalah untuk murid sekolah rendah bernama Kuntum. Terdapat satu ruangan berkenaan aturcara komputer yang dinamakan BASIC. Tidak pasti pada program itu GW-BASIC atau QBASIC tetapi pastinya, BASIC. Pertama kalinya, terfikir, siapa yang akan memunafaatkan ruangan ini? Semestinya tiada seorang pun kawan di sekolah yang berminat apatah lagi tiada komputer di sekolah kampung ini. Nilai RM1000 adalah nilai yang tak terhingga apatah lagi, RM10000.
Keduanya, merasakan bahasa aturcara ini amatlah berguna walaupun tidak mempunyai sebuah komputer. Maka, berulangkali memahami arahan dalam BASIC satu persatu dan mengikuti ruangan tersebut setiap bulan tanpa ketinggalan melanggan majalah tersebut. Untuk memudahkan pembacaan, laman dikoyak dari majalah-majalah tersebut dan dikompilkan dalam satu fail.
Komputerku pada masa itu hanyalah pensel dan kertas. Pada waktu itu, belajar berkenaan carta alir, arahan BASIC, menulis autrcara BASIC, debug dan menguji aturcara yang ditulis pada cebis-cebis kertas. Dalam hati, jika dapat menemui komputer, maka aturcara ini akan ditulis semula di dalam komputer sebenar. Sungguh melekakan sehinggakan pernah dimarah kerana di waktu berbuka puasa, masih lagi membuka fail dan nota di depan juadah. Hampir terbantut.....
Akhirnya, dapat menemui komputer sebenar pada umur 16 tahun dan menulis aturcara BASIC untuk pertama kali. Tidak dapat meneruskan pengajian dalam bidang komputer kerana tidak mempunyai sebuah komputer, maka berpindah ke bidang elektronik. Dapat mempunyai komputer pada umur 21 selepas bekerja.
Maka, dengan ini, bersyukurlah dengan apa kekurangan yang anda ada. Sesungguhnya, kekurangan itu membuat kita menjadi lebih matang, kreatif dan insaf. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.