Pada tahun ini, Hack in the Box Conference menyambut ulang tahun ke-10. Aku tidak tahu rupanya HITB telah diadakan semenjak 2002 lagi dan pada sangkaan, persidangan ini mula diadakan pada tahun 2003 di mana aku sendiri tidak menghadirkan diri.

Pada tahun ini persidangan ini agak meriah, (walaupun aku datang pada hari terakhir). Mungkin pihak penganjur telah mempromosi persidangan kali ini dengan sambutan 10 tahun HITB (yang semestinya meriah) dan membariskan beberapa speaker terkenal yang telah hadir pada persidangan HITB yang lepas. Sekurang-kurangnya, usaha HITB dapat memeriahkan lagi persidangan kali ini berbanding persidangan beberapa tahun lepas yang semakin suram. Walaupun begitu, hadirin yang masuk ke persidangan, agak kurang. Tapi itu dalam pemerhatian aku pada hari terakhir sahaja.

Dikatakan persidangan kali ini, disinggahi oleh Tun Mahathir pada hari pertama. Sebenarnya beliau hadir di hotel yang sama untuk acara lain tetapi telah singgah ke persidangan HITB atas permintaan krew HITB. Tidak menghairankan jika beliau boleh meluangkan masa untuk singgah beberapa tempat sewaktu acara rasmi beliau. Beliau tidak mengecewakan semua orang walaupun beberapa pihak telah mempergunakan status beliau merasmikan sesuatu tetapi akhirnya projek itu terbengkalai. Walaupun begitu, keprihatinan beliau, lebih-lebih lagi bagi bidang IT, atas galakan beliau semasa menjadi Perdana Menteri menjadi aspirasi kepada semua anak muda dan mewartakan 10 Bill of Guarantee terhadap internet.

 

 

 

Kehadiran beberapa muka lama yang dijemput selama ini tidaklah ramai. Paling terkenal dijemput adalah John Draper aka Captain Crunch, seorang hacker tua yang terkenal dan dianggap lagenda. Bagi yang tidak mengenali beliau, semasa mudanya beliau menemui teknik tona frekuensi 2600Hz yang dapat membuat panggilan telefon secara percuma pada telefon awam menggunakan plastik bungkus makanan Captain Crunch pada tahun 1970an. Beliau telah ditangkap, dipenjara dan dibebaskan dalam pengawasan selama 5 tahun. Selepas keluar dari penjara, dia diburu oleh Steve Jobs dan Steve Wozniak (pencipta Apple) kerana ingin mempelajari teknik tersebut dari beliau. Selepas itu, beliau bekerja di Apple bagi membangunan antaramuka telefon untuk Apple II. Beliau sangat peramah, mudah didekati dan berperangai kebudak-budakan walaupun sudah berumur hampir 70 tahun. Kedatangan beliau ke Malaysia pada HITBKUL2003? 2004?, bukan sahaja menghadiri persidangan tetapi selepas persidangan, beliau telah menjelajah beberapa hutan hujan simpan di Malaysia sebelum balik ke Amerika Syarikat. Semasa artikel ini ditulis, beliau berada di Thailand untuk melancong.

Muka lama lain ramai yang hadir tetapi tempoh kehadiran mereka ke persidangan tahunan ini lebih dari satu kali. Muka lama yang agak menonjol adalah seperti Mikko Hypponen, dari F-Secure. Di Malaysia, beliau bukan sahaja dikenali di HITB tetapi juga beberapa acara lain, temuramah dan konsultasi kerajaan. Disebabkan banyaknya urusan beliau di Malaysia, mungkin, tertubuhnya syarikat F-Secure di Malaysia. Pada persidangan tahun ini, kehadiran beliau amat menyakitkan keranadiminta untuk memotong rambut beliau yang panjang dengan bayaran hampir RM5000 yang dikongsi oleh beberapa hadirin. Tetapi duit ini akan didermakan untuk kebajikan.

Selain daripada Mikko, HITB telah menjemput hacker yang telah beberapa tahun bersara tanpa mengucapkan selamat tinggal. Roberto Preatoni dikenali sebagai pelelong terhebat di acara penutup HITB yang kelakar. Beliau bekerja sebagai pendidik di sebuah kolej di Itali dan seorang hacker serta pakar keselamatan. Pada tahun 2007, beliau telah ditangkap dan dipenjara kerana terlibat dalam skandal Telecom Italia. Bermula dari kejadian tersebut, beliau telah berhenti dari terlibat dalam sebarang aktiviti hacking, seminar, jemputan persidangan, meninggalkan kolej yang ditubuhkan dan tidak mempunyai sebarang aktiviti komputer. Beliau amat terharu jemputan HITB pada kali ini dengan membayar segala kos pengangkutan untuk membolehkan beliau hadir dan menjadi pelelong untuk HITB kali ini. Di HITB, beliau bukan sahaja terkenal sebagai pelelong tetapi juga terkenal selepas diminta berbogel untuk kebajikan 2 kali dan disiarkan di Youtube.

http://www.youtube.com/watch?v=mmzukStOSYI

Ada juga muka-muka besar yang tidak hadir atau mungkin tidak dijemput, di mana jika dijemput mungkin lebih lebih meriah seperti HD Moore yang terkenal dengan Metasploit. Aplikasi ini amat berguna sekali dalam pentest. Tidak lupa juga Julian Assange yang telah hadir tidak lama dulu semasa Wikileaks masih di peringkat awal pelancarannya. Status beliau sekarang ini berlindung di kedutaan Ecuador tidak memungkinkan beliau dijemput sekali lagi.

Lelongan tahun ini dianggarkan melebihi jumlah lelongan sebelum ini. Kebanyakkan barangan yang dilelong adalah barangan yang unik, sukar dicari dan mempunyai nostalgia. Dari XBOX 360 custom made for HITB yang dicetak bersama nama tuan pengguna, waran tangkap Roberto Preatoni, baju-baju vintaj dan bermacam-macam lagi. Tetapi pakej T-shirt Mr Preatoni (t-shirt Pirate Bay sumbangan founder of Pirate Bay) dan spender dia tu, memang menjatuhkan harga la. Kalau T-shirt sahaja, nilai terbidaan mungkin lebih tinggi. Segala duit dari hasil lelongan didermakan kepada Mount Miriam Cancer Hospital, Pulau Pinang.

HITB hanya satu-satunya persidangan yang diketahui di Malaysia hampir menyerupai DefCon di Las Vegas. Walaupun begitu, selepas 10 tahun persidangan ini berlangsung, kandungannya terlalu statik. Ada banyak lagi kandungan tambahan atau pembaharuan yang boleh dibuat. Kita ni mana mampu nak masuk kelas-kelas yang mahal tu. Sekurang-kurangnya, booth yang disediakan dapat mempersembahkan aktiviti hacking, elektronik dan macam-macam hasil DIY dalam bidang ini. Tiap-tiap tahun balik-balik, lock picking jek. Mungkin HITB memerlukan dana untuk menjalankan persidangan ini, maka banyak booth pihak penyumbang yang rata-rata syarikat-syarikat dan bukannya peminat-peminat.

Diharapkan HITB dapat diteruskan lagi dan hidup tanpa jemu.

* Dengar cerita, ada orang menang USD60000 dari Google. Siapa tu?